Ipoh, 2 Ogos 2024 — Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak dengan kerjasama Kelab Kebajikan & Sukan JPSPk (KASRIP) telah mengadakan satu majlis perpisahan yang penuh makna bagi meraikan tiga orang pegawai yang telah bertukar ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak bertempat di Tower Regency Hotel Ipoh.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan yang penuh inspirasi daripada Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie, YBrs. Tuan Mohd Asri Mohamad Ghazali yang meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada pegawai-pegawai yang telah bertukar. Dalam ucapannya, beliau menyanjung tinggi sumbangan dan dedikasi luar biasa ketiga-tiga pegawai ini yang telah memberi impak besar kepada jabatan serta segala khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Ketiga-tiga pegawai yang diraikan, YA Tuan Mohamad Syamil Azizan, Tuan Muhamad Hamidi Hamizi Abdul Manaf dan Puan Husna Abu Hassan turut memberikan ucapan dan mengungkapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang diterima selama berada di Jabatan ini. Juga mereka mengimbau kembali pengalaman mereka dan mengharapkan kejayaan di jabatan baharu.
Majlis berakhir dengan sesi penyerahan cenderamata, jamuan hi-tea dan tayangan montaj perpisahan. Semoga pegawai-pegawai yang bertukar ini akan terus mencapai kejayaan dan memberi sumbangan yang cemerlang di jabatan baharu. Selamat maju jaya diucapkan daripada seluruh warga Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak.